12 February 2015

PERGINYA PERMATA UMMAH - Al Marhum TGNANM

Setiap yang hidup PASTI merasai MATI.

Innalillahi wa inna ilaihi roji'un... Menerima berita tentang pemergian seorang mursyid dan Murabbi kita pada jam 9.45 malam, 12 Februari 2015 Malam Jumaat yang mulia..

Semoga tenang bertemu dengan NYA, setenang-tenang wajahnya... 

Takziah buat keluarga almarhum dan Al Fatihah buat Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat yang disenangi, disegani dan dikasihi oleh seluruh makhluk bumi..Pergimu tak kan kembali, pergimu tiada pengganti... Semoga roh mu sentiasa di dalam rahmat Allah dan dimasukkan ke dalam Syurga bersama orang-orang yang Soleh...

Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931.

Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid.

Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah.

Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain.

Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.




PERGINYA PERMATA UMMAH

Terbukalah pintu langit dengan merdu
Sang burung terbang mengiringi
Dengan zikir jiwa penuh syahdu
Menyenak hati bungkam berperi

Menitis embun hati pada daun rasa
Bersinar mentari hidayah di rusuk taqwa
Melihat pada kalbuku akan wajahmu
Terkujur tenang bak kekasih merindu
Teranglah bintang penghulu malam
Menyambut kembalinya jiwa tenteram
Hampir sekurun menyuburkan alam
Kini masanya timpuh bersemayam
Hidupnya tekad menabur kasih
Menuntun ummat tak kenal letih
Pada senyum ada nasihat
Pada tegas ada makrifat
Bergegaslah seluruh cakerawala
Berhimpit mahu melihat sama
Begitukah tenangnya sebuah jiwa
Menyahut seruan Kekasih di sana
Selesai sudah gelanggangnya di sini
Menuju gerbang dihampar permaidani
Tinggal kita mencari-cari
Mana yang dusta mana yang bestari

Dedikasi dari Facebook  : 
Tuan Hj Fadzli Yusof, 9.58 malam
22 Rabiul Akhir 1463
12 Februari 2015

No comments:

TIPS MINUM AIR YANG CUKUP KETIKA BERPUASA

Alhamdulillah. Bermula Ramadhan pertama hari ini. Semoga kita semua dapat laluinya dengan penuh kesabaran dan ibadah kita diterima oleh-NYA....